Warga Emas Meninggal Dunia, Gara-Gara Tuntut Hutang RM250 Daripada Kawan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun ditahan kerana disyaki memukul seorang rakan lamanya sehingga mati ketika mereka bergaduh kerana hutang berjumlah RM250, hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 6.45 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima Kepong di sini.

Dalam pergaduhan itu, mangsa yang juga seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun dikatakan dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebuah kerusi plastik.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati pergaduhan membabitkan dua lelaki warga tempatan berkaitan hutang.

“Dalam pergaduhan itu mangsa dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebuah kerusi plastik manakala mangsa membalas serangan suspek dengan menggunakan sebatang rod kabel. 

“Namun pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh beberapa anggota RELA yang berada di tempat kejadian.

“Mangsa kemudian didapati beredar dengan berjalan kaki sebelum rebah seterusnya meninggal dunia di tepi jalan, kira-kira 100 meter berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya suspek, seorang lelaki berusia 63 tahun ditahan di Balai Polis Kepong ketika dia hadir membuat laporan polis mengenai pergaduhan itu, kira-kira jam 11 pagi tadi. 

“Sebuah kerusi plastik warna putih dan sebatang rod kabel warna hitam yang digunakan dalam pergaduhan itu dirampas untuk siasatan lanjut. 

“Punca pergaduhan dipercayai disebabkan oleh masalah hutang di mana suspek gagal menjelaskan hutang kepada mangsa sebanyak RM250,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya meminta orang ramai yang ada maklumat berkaitan kes supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *